LATAR BELAKANG PEWUJUDAN HAL EHWAL PESARA POLIS
Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis & Penjara (HP), Kementerian Dalam Negeri telah diwujudkan pada 1 Februari 2003 melalui Waran Perjawatan Bilangan K7 Tahun 2003 setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 23 Oktober 2002. Walau bagaimanapun, berasaskan hasrat Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri bagi memperkasakan pengurusan kebajikan bekas dan pesara polis.
Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis dan Penjara telah dimansuhkan dan Bahagian Veteran Polis Diraja Malaysia telah ditubuhkan berkuatkuasa 8 Ogos 2012 melalui Waran Perjawatan K61/2012 yang diletakkan di bawah Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia. (Surat JPA dalam rujukan JPA.BPO(S) 253/2/14-2 Jld 36(25) mengenai Cadangan Penubuhan Bahagian Veteran Polis Diraja Malaysia PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah berkaitan).
PENJENAMAAN GELARAN
Pada 17 Julai 2013, Yang Dihormati Ketua Polis Negara (pada ketika itu) telah mengarahkan nama Bahagian Veteran Polis Diraja Malaysia diubah “rebranding” kepada Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis Diraja Malaysia berdasarkan alasan berikut:-
- Membezakan dengan Angkatan Tentera Malaysia yang menggunakan perkataan veteran untuk pegawai/ anggota yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka (bersara);
- Skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia adalah berlainan dengan skim perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia yang mana Polis Diraja Malaysia adalah perkhidmatan secara tetap dan berpencen dan bersara hingga umur 60 tahun;
- Pesara Polis Diraja Malaysia menerima pencen dari Jabatan Perkhidmatan Awam dan bersesuaian untuk diuruskan oleh Hal Ehwal Pesara Polis; dan
- Mengelakkan kekeliruan masyarakat awam mengenai terma veteran yang digunapakai oleh Angkatan Tentera Malaysia yang tamat tempoh perkhidmatan dan pesara yang digunapakai oleh pesara Polis Diraja Malaysia.
Cadangan tersebut diterima dan hebahan melalui e-Siar bertarikh 31 Julai 2013 (Rujukan KPN 11/1/8), Pertukaran Gelaran Nama Bahagian Veteran Polis Diraja Malaysia kepada Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis Diraja Malaysia.